Khamis, 22 Julai 2021 | 2:13pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Ketua Balai Polis 'berpesta' positif ganja

KUALA LUMPUR: Ketua Balai Polis yang ditahan kerana berpesta bersama anggota dan empat wanita orang awam di dalam balai polis di daerah Kajang, didapati positif ganja.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata pegawai berpangkat Sub-Inspektor itu, didapati positif menerusi ujian air kencing awal dijalankan.

"Sampel air kencing juga akan diuji sekali lagi dan jika ternyata positif juga, dia akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang. Mereka juga ditahan tugas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, seorang Ketua Balai Polis bersama tiga anggotanya di daerah Kajang serta empat wanita orang awam ditahan JIPS ketika mereka berhibur dalam bilik khas di balai polis berkenaan.

Serbuan dijalankan JIPS Bukit Aman, pada jam 6 petang semalam, sebaik menerima maklumat dari orang awam.

Ketika serbuan terhadap balai berkenaan, sebahagian daripada mereka dipercayai sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum.

Azri berkata, Polis Daerah Kajang akan menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan unsur jenayah membabitkan empat anggota polis dan empat orang awam.

"JIPS akan menyiasat keempat-empat polis terbabit kerana salah laku dan pelanggaran peraturan penjawat awam. Tindakan akan diambil tanpa pilih kasih," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap anggota polis atau pegawai yang terbabit melakukan kesalahan atau jenayah.

"Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Mereka yang melakukan kesalahan ini hanyalah kumpulan kecil.

"Mereka tidak akan dilindungi, sebaliknya tindakan tegas akan diambil terhadap mereka," katanya.

Berita berkaitan:

  • Polis berpesta dalam balai digantung tugas
  • Pesta liar di balai polis, 8 termasuk Ketua Balai ditahan Bukit Aman
  • Berita Harian X