Khamis, 22 Julai 2021 | 12:55pm

Wanita Indonesia didenda RM14,000 guna MyKad palsu

GEORGETOWN: Wanita warga Indonesia didenda RM14,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap dua pertuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu.

Tertuduh, Ziehara Toding, 22, yang juga pekerja sosial di sebuah motel di sini, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret R Manomani.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang sudah menetap di negara ini kira-kira lima tahun itu didakwa menggunakan aplikasi MySejahtera atas identiti orang lain.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dihukum denda sebanyak RM6,000 dan tiga bulan penjara, jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja memiliki MyKad atas nama Ziehara Boisi sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah di Desa Pinang 2, Lebuh Sungai Pinang di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 2.30 petang pada Sabtu lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM8,000 dan empat bulan penjara, jika gagal membayar denda terbabit.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Azry Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu Pengarah JPN negeri, Nur Zulfa Ibrahim berkata, kes berkenaan termasuk 11 kes yang dituduh pihaknya di mahkamah sepanjang tahun ini membabitkan kesalahan MyKad palsu.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding hanya sembilan pertuduhan di mahkamah membabitkan kes sama sepanjang tahun lalu.

"Sehingga Jun lalu, seramai 25 individu bersabit kesalahan MyKad palsu sudah ditahan menerusi 21 operasi yang dijalankan.

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 16 individu yang ditahan terdiri daripada warga asing manakala sembilan lagi ialah rakyat tempatan yang antaranya membabitkan kesalahan seperti pendaftaran palsu bagi sijil kematian," katanya kepada media ketika ditemui di perkarangan mahkamah.

Sementara itu, Nur Zulfa berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras sindiket pengeluaran MyKad palsu di negeri ini.

"Kita mohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu menyalurkan kepada pihak berkuasa menerusi pelbagai saluran yang disediakan," katanya lagi.

Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengiringi warga Indonesia, Zhiehara Toding (dua kanan) ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini, yang mengaku salah terhadap dua pertuduhan menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu dan didenda sebanyak RM14,000 terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan. - NSTP/Mikail Ong
Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengiringi warga Indonesia, Zhiehara Toding (dua kanan) ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini, yang mengaku salah terhadap dua pertuduhan menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu dan didenda sebanyak RM14,000 terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan. - NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X