Khamis, 22 Julai 2021 | 9:27am

Bunuh rakan, tanam di rumah kongsi

SEREMBAN: Perselisihan faham dikenal pasti menjadi punca seorang lelaki warga Bangladesh bertindak membunuh rakan sekerjanya sebelum menanam mangsa di tempat tinggal mereka di tapak pembinaan sebuah rumah banglo, di Taman Mutiara Galla, di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata kejadian pembunuhan membabitkan mangsa berusia 30 tahun itu berlaku pada 13 Julai lalu.

Katanya, majikan mereka mengesyaki sesuatu berlaku kepada mangsa yang sudah lama tidak kelihatan sebelum membuat soal siasat.

"Polis menerima laporan daripada majikan mereka mengenai kejadian ini pada jam 6.30 petang semalam.

Anggota forensik membuat siasatan kes bunuh di sebuah rumah di Taman Mutiara Galla, Seremban. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Anggota forensik membuat siasatan kes bunuh di sebuah rumah di Taman Mutiara Galla, Seremban. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Kes bunuh di sebuah rumah di Taman Mutiara Galla, Seremban. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Kes bunuh di sebuah rumah di Taman Mutiara Galla, Seremban. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

"Ketiadaan mangsa lelaki yang juga warga Bangladesh di tempat kerja dalam tempoh beberapa hari menimbulkan tanda tanda majikannya yang kemudian membuat soal siasat dan bertanya lebih lanjut kepada suspek.

"Suspek berusia 29 tahun yang tinggal bersama mangsa cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan majikannya yang kemudian membuat laporan polis," katanya kepada pemberita di sini, awal pagi tadi.

Anggota polis membawa suspek kes bunuh. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Anggota polis membawa suspek kes bunuh. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku telah membunuh mangsa sebelum menanamnya di tempat tinggal mereka iaitu di rumah kongsi di tapak pembinaan yang belum siap.

Katanya, perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan antara suspek dan mangsa yang telah tinggal bersama sejak sebulan lalu.

"Mereka dikatakan bergaduh dan suspek telah memukul mangsa menggunakan kayu sebelum menanam mayatnya di kawasan tempat tinggal mereka.

"Suspek turut menunjukkan kayu yang digunakan untuk memukul mangsa. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Mohd Said berkata, pihaknya menganggap bahawa kes berkenaan selesai dan mayat mangsa juga telah dijumpai serta dihantar ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban untuk tindakan lanjut.

"Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Anggota forensik membawa keluar mayat mangsa yang dibunuh dan ditanam di sebuah rumah di Taman Mutiara Galla, Seremban. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Anggota forensik membawa keluar mayat mangsa yang dibunuh dan ditanam di sebuah rumah di Taman Mutiara Galla, Seremban. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Berita Harian X