X
Sabtu, 3 Julai 2021 | 12:02pm
Polis mengadakan operasi pematuhan SOP secara berterusan. - Foto hiasan NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Polis mengadakan operasi pematuhan SOP secara berterusan. - Foto hiasan NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Polis keluar 77 kompaun di Johor

JOHOR BAHRU: Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM770,000 hasil pemeriksaan 120 premis dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) atau Op Patuh di negeri ini dalam tempoh dua hari.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata 77 kompaun dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 48 dikenakan kepada pemilik premis dan 29 kepada pekerja atau pelanggan.

Katanya, empat premis diarah tutup serta-merta kerana kesalahan melanggar SOP utama.

Beliau berkata, 120 premis diperiksa, termasuk premis kilang iaitu 100 kilang, 14 premis perniagaan, tiga pasar raya dan tiga terminal bas.

"Lima kompaun dikenakan kerana melebihi kapasiti datang bekerja 60 peratus. Tiga kompaun terhadap salah guna surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Sebanyak 42 kompaun tidak patuhi SOP asas, 27 kompaun langgar syarat Akta Kerajaan Tempatan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Ayob Khan berkata, operasi yang dilaksanakan sejak kelmarin dilakukan secara menyeluruh dengan dipimpin ketua polis daerah.

Dalam tempoh itu, katanya, 22 operasi dilaksana dengan bantuan 503 anggota PDRM.

"Seramai 181 petugas dari agensi lain seperti Kementerian Kesihatan KKM), Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Angkatan Pertahanan Awam.

"Polis akan mempergiat operasi bagi menyahut saranan kerajaan untuk mengurangkan ketidakpatuhan SOP yang membawa kepada peningkatan kes COVID-19," katanya.

Berita Harian X