Selasa, 15 Jun 2021 | 3:12pm
Muhammad Sajjad juga saksi dalam perbicaraan yang akan berlangsung pada 14 Julai ini. - Foto NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD
Muhammad Sajjad juga saksi dalam perbicaraan yang akan berlangsung pada 14 Julai ini. - Foto NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD

Nur Sajat juga mangsa penipuan

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang kini dalam buruan polis ialah saksi penting perbicaraan berkaitan kes penipuan pertukaran nama dan jantina, dalam kad pengenalan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata Muhammad Sajjad seorang mangsa dan juga saksi dalam perbicaraan itu yang akan berlangsung pada 14 Julai ini.

"Muhammad Sajjad saksi penting bagi memberi keterangan ke atas suspek yang juga seorang wanita tempatan yang dituduh sebelum ini kerana terbabit dalam kes penipuan pertukaran nama dan jantina dalam kad pengenalan.

"Dia saksi pendakwaan bagi membantu pihak pendakwa raya dalam kes yang sedang dalam prosiding perbicaraan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa penipuan dalam kes itu Muhammad Sajjad sendiri.

Katanya, usahawan kosmetik itu disyaki sudah melarikan diri dan tidak dapat dikesan dan usaha mencarinya dilakukan bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Ampang Jaya.

Semalam, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam kenyataan memaklumkan sedang mengesan Muhammad Sajjad untuk membantu siasatan satu kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan yang sedang dalam perbicaraan.

Menurut kenyataan itu, alamat terakhir Muhammad Sajjad di No 2, Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya, Selangor

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Sajjad boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Syafrina Nadzleen Ibrahim di talian 019-2692 954.

Muhammad Sajjad, 36, turut diburu pihak berkuasa selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sajjad dipercayai bersembunyi di Thailand, selepas menghilangkan diri kerana dikenakan waran tangkap berkenaan.

Berita Harian X