Khamis, 10 Jun 2021 | 10:28pm

Polis tumpas kegiatan pelacuran dalam talian

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu kegiatan pelacuran menggunakan khidmat wanita warga asing dalam serbuan ke atas sebuah hotel di Jalan Merdeka Permai, Merdeka Villa, Ampang dekat sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.36 petang itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang berperanan sebagai 'pengurus' kepada empat wanita warga asing berusia antara 27 hingga 33 tahun yang turut ditahan.

Serbuan dilakukan Unit Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bersama Cawangan Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata ketika pemeriksaan dijalankan, semua wanita warga asing itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri masing-masing.

"Siasatan mendapati sindiket ini baru beroperasi selama sebulan dan menawarkan khidmat mereka melalui aplikasi Telegram dengan bayaran RM180 sejam.

"Pelanggan membuat pembayaran secara dalam talian dan mereka akan memperolehi maklumat hotel serta nombor bilik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, tindakan kompaun dikenakan ke atas pengurus hotel kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Kompaun turut dikeluarkan ke atas lelaki tempatan yang ditahan. Tindakan kompaun itu dilakukan mengikut Peraturan 17 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Kesemua suspek kini direman empat hari hingga 13 Jun ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 372 dan 272B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya.

Berita Harian X