Khamis, 10 Jun 2021 | 10:00pm

Anak ahli perniagaan ditemui mati dalam bilik tidur

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang juga anak ahli perniagaan sebuah syarikat perkapalan dan perhotelan terkemuka negeri ini, ditemui mati di rumahnya, semalam.

Mangsa berusia 42 tahun itu ditemui di dalam bilik tidur di rumahnya di Jalan Lintas, di sini, oleh ahli keluarga sebelum membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata setakat ini siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.

"Bagaimanapun, kita masih menunggu keputusan saringan COVID-19 sebelum proses seterusnya dapat dijalankan.

"Polis juga masih menunggu laporan bedah siasat bagi membantu siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, siasatan awal juga mendapati, tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian atau pada tubuh badan mangsa.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Berita Harian X