Khamis, 10 Jun 2021 | 5:28pm
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya. NSTP/Aziah Azmee
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya. NSTP/Aziah Azmee

234 pegawai, anggota polis terbabit jenayah, dadah, rasuah dihukum

KUALA LUMPUR: Seramai 234 pegawai dan anggota polis yang didapati bersalah terbabit jenayah dan rasuah dijatuhkan hukum sejak tahun 2016.

Jumlah itu membabitkan seramai 29 pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas serta 205 anggota dari pelbagai pangkat.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, berkata berdasarkan statistik kebanyakan mereka dikenakan tindakan buang kerja, selain ada yang sedang menjalani hukuman.

Katanya, seramai 160 pegawai dan anggota terbabit dalam kes jenayah manakala selebihnya didapati bersalah selepas terbabit kes rasuah.

"JIPS sentiasa menitikberatkan soal integriti dan salah laku mana-mana pegawai atau anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati bersalah dalam jenayah mahupun rasuah," katanya kepada BH di Bukit Aman, hari ini.

Zamri berkata, selain kes rasuah dan jenayah, tindakan turut dikenakan ke atas pegawai dan anggota yang terbabit kesalahan tatatertib seperti salah-laku dan lewat menyiapkan kertas siasatan.

"Sejak tahun 2016 hingga 2020, JIPS sudah mengambil tindakan terhadap 12,612 pegawai dan anggota polis membabitkan 1,563 pegawai dan 11,049 anggota.

"Mereka yang terbabit dalam kesalahan ini menerima hukuman turun pangkat, tahan kerja dan dipindahkan ke penugasan lain daripada penugasan asal," katanya.

Beliau berkata asas pasukan PDRM itu sendiri adalah pelindung kepada masyarakat dan JIPS sentiasa komited dalam pelaksanaan penugasannya bagi memastikan keyakinan dan rasa hormat masyarakat terhadap polis dapat dikembalikan.

Berita Harian X