Khamis, 10 Jun 2021 | 12:56pm

Petani dituduh miliki pistol, peluru

KOTA BHARU: Seorang petani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seysen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki senjata api sepucuk pistol dan 11 butir peluru, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Faeez Awang, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata api sepucuk pistol Mod 213 9MM Tara No Siri 108791 dan satu kelopak pistol warna perak tanpa kebenaran yang sah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 11 butir peluru jenis 9MM Luger PMC tanpa kebenaran yang sah. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Kampung Kelubi, Jalan Kota Bharu di Pasir Puteh kira-kira jam 9.45 malam pada 29 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin yang tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kes itu serius dan tidak boleh jamin.

Peguam bela, Ahmad Adha Amir Yasser memohon tertuduh yang masih bujang itu diikat jamin kerana lelaki itu adalah anak sulung daripada lapan adik beradik dan membantu bapanya di kebun sayur.

"Bapanya kerja sebagai petani dengan pendapatan antara RM800 hingga RM1,000. Dengan wang itu juga diguna untuk membiayai perubatan ayah dan ibunya yang sakit.

"Saya memohon supaya jaminan yang rendah ditetapkan kerana ini adalah kes pertama tertuduh. Selain itu, pengalaman anak guam saya yang berada dalam tahanan polis selama 11 hari sudah memberi pengajaran kepadanya," katanya.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin kepada tertuduh dan menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh, Mohd Faeez Awang, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seysen Kota Bharu atas dua pertuduhan memiliki senjata api sepucuk pistol dan 11 butir peluru di Kampung Kelubi, Jalan Kota Bharu di Pasir Puteh kira-kira jam 9.45 malam pada 29 Mei lalu. - Foto NSTP/ Nik Abdullah Nik Omar
Tertuduh, Mohd Faeez Awang, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seysen Kota Bharu atas dua pertuduhan memiliki senjata api sepucuk pistol dan 11 butir peluru di Kampung Kelubi, Jalan Kota Bharu di Pasir Puteh kira-kira jam 9.45 malam pada 29 Mei lalu. - Foto NSTP/ Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X