Ahad, 6 Jun 2021 | 11:12pm
TIMBALAN Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo - Ihsan PDRM
TIMBALAN Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo - Ihsan PDRM

Klip video palsu guna logo PDRM dikesan

KUALA LUMPUR: Polis mengesan penyebaran satu klip video menggunakan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kandungan maklumat palsu di media sosial, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo, berkata klip video itu antara lain memaparkan tangkap layar artikel portal berita 'Suara Sarawak' bertajuk 'Tiada kompromi lagi, keluar selepas jam 7 petang kena tangkap'.

"Artikel itu didapati disiarkan dalam talian pada 24 Mac 2020 dan 'screenshot' (tangkap layar) artikel itu dipinda individu tidak bertanggungjawab dengan memasukkan logo PDRM serta perkataan 'Diraja Malaysian IPK KL Polis' yang ternyata salah.

"Audio dalam klip video itu menyatakan sesiapa yang keluar rumah selepas jam 6 petang akan ditangkap, kecuali mereka yang mempunyai urusan di klinik atau hospital dan hal membabitkan kecemasan seperti membawa orang sakit.

"Turut dinyatakan, mereka yang keluar rumah selepas jam 6 petang untuk membeli makanan akan ditangkap atas arahan Ketua Polis Negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lei Choo berkata, inti pati klip video berkenaan adalah palsu kerana orang ramai dibenarkan keluar rumah untuk membeli keperluan asas dan makanan pada waktu kedai beroperasi sehingga jam 8 malam.

Katanya, kebenaran itu sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertarikh 2 Jun lalu yang dikuatkuasakan kerajaan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak menularkan berita palsu atau maklumat yang tidak sahih.

"Individu yang dengan niat menularkan berita tidak benar berkaitan COVID-19 untuk menyebabkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang awam adalah kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Difahamkan, video berdurasi 34 saat itu dikesan tersebar menerusi aplikasi WhatsApp serta TikTok bersama audio suara seorang lelaki yang menyebarkan maklumat tidak benar berhubung SOP PKP.

Artikel Suara Sarawak disiarkan pada 24 Mac tahun lalu itu adalah berkaitan penguatkuasaan pematuhan SOP PKP oleh polis Sarawak selepas kerajaan negeri meminta semua premis ditutup pada 7 malam.

Berita Harian X