Isnin, 24 Mei 2021 | 2:36pm

'Datuk Seri' antara ditahan terbabit sindiket judi

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket judi dalam talian dan mesin slot selepas menahan 19 individu termasuk dalang utama seorang lelaki bergelar 'Datuk Seri' di sebuah premis dekat Jalan Pudu, di sini dan sekitar ibu negara, antara 17 hingga 20 Mei lalu.

Dalam serbuan di rumah suspek utama berusia 55 tahun di Bukit Segar, Cheras di sini 20 Mei lalu, polis merampas wang tunai berjumlah RM579,001, tiga jam tangan bernilai RM238,000; tiga jongkong emas dan loket (RM58,250) serta tiga kenderaan mewah (RM1.2 juta) dengan nilai keseluruhan RM2.1 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata selain lelaki berkenaan, 10 individu tempatan termasuk seorang wanita, lima lelaki warga Myanmar dan tiga lelaki Bangladesh diberkas berusia antara 17 hingga 71 tahun.

Katanya, turut disita pelbagai barang termasuk 16 alat kawalan perjudian, empat set komputer, dua projektor, satu modem, dua kotak perisian perjudian, dua kotak pengisian kredit, dua cip kredit perjudian serta wang tunai berjumlah RM10,123.

"Tarikan sindiket judi itu dengan mengubah suai mesin slot bagi membolehkan paparan pada mesin berkenaan dilihat melalui skrin projektor.

"Ia bertujuan bagi menambah keseronokan pemain judi selain menarik lebih ramai pelanggan. Kita juga dapati sindiket itu turut dijalankan menerusi kaedah dalam talian.

"Sindiket itu yang aktif sejak Januari lalu mengaut keuntungan antara RM10,000 hingga RM30,000 sehari bergantung kepada sambutan pelanggan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Azmi berkata, semua suspek masih dalam tahanan reman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, Seksyen 4 (1) (c) dan 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi (03-2600 2222) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim (tengah) melihat salah sebuah kereta mewah yang dirampas daripada sindiket judi dalam talian dan mesin slot selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Ysni Ariffn
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim (tengah) melihat salah sebuah kereta mewah yang dirampas daripada sindiket judi dalam talian dan mesin slot selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Mohd Ysni Ariffn
Berita Harian X