Rabu, 19 Mei 2021 | 4:09pm
Penjawat awam yang menyokong Israel itu dikatakan memuat naik videonya yang tular ketika dia di bawah pengaruh dadah. - Foto tular
Penjawat awam yang menyokong Israel itu dikatakan memuat naik videonya yang tular ketika dia di bawah pengaruh dadah. - Foto tular

Penjawat awam ditahan provokasi media sosial

MELAKA: Seorang penjawat awam yang menyatakan sokongan secara terbuka terhadap rejim Zionis sehingga membangkitkan kemarahan netizen dan tular di media sosial, ditahan polis selepas didapati positif dadah, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, petang semalam selepas dipanggil memberi keterangan.

Beliau berkata, polis menerima laporan satu video tular seorang lelaki menyokong Israel menerusi aplikasi TikTok dengan menggunakan nama pengguna @pahlawan90 kira-kira jam 11.13 pagi semalam.

"Hasil siasatan dijalankan, suspek bertindak memuat naik video berdurasi 59 saat itu menggunakan nama @pahlawan90 sehingga menimbulkan reaksi negatif masyarakat kerana dilihat menyentuh sensitiviti agama.

"Suspek yang juga penjawat awam di Melaka dipanggil untuk diambil keterangan kemudian turut diminta melakukan ujian saringan air kencing sebelum didapati positif dadah dipercayai jenis morfin," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Afzanizar berkata, siasatan lanjut dijalankan mendapati, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika memuat naik video terbabit.

"Susulan itu, suspek kini direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang dipercayai digunakan ketika memuat naik video di aplikasi TikTok," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

"Pihak polis meminta orang awam menggunakan platform media sosial dengan bertanggungjawab tanpa membuat sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan masyarakat yang berbilang kaum," katanya.

Berita Harian X