Sabtu, 15 Mei 2021 | 3:56pm
 Orang ramai yang beriadah di sekitar Jambatan Angkat dikompaun RM4,000 setiap seorang pada Op Pematuhan Aidilfitri IPD Kuala Terengganu, semalam. - Foto ihsan polis
Orang ramai yang beriadah di sekitar Jambatan Angkat dikompaun RM4,000 setiap seorang pada Op Pematuhan Aidilfitri IPD Kuala Terengganu, semalam. - Foto ihsan polis

Berkumpul di muara utara Jambatan Angkat, 43 individu dikompaun

KUALA TERENGGANU: Seramai 43 individu dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana berkumpul di kawasan muara utara Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini semalam, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, berkata rondaan dilakukan pihaknya untuk memantau pematuhan SOP ketika musim Aidilfitri dan menahan mereka terbabit dalam Op Pematuhan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bermula kira-kira jam 5.30 petang hingga 7 malam.

Beliau berkata, rondaan di kawasan berkenaan mendapati orang ramai berkumpul dan beriadah tanpa mengamalkan penjarakan fizikal.

"Tindakan penguatkuasaan kompaun diambil mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah -Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, lapan pasukan pemantau digerakkan untuk memastikan masyarakat mematuhi SOP ditetapkan bermula Khamis lalu seperti aktiviti ziarah Aidilfitri, ziarah kubur dan tempat tumpuan awam.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak berkumpul di kawasan tumpuan awam bagi mengekang penularan COVID-19.

"Kita boleh kawal orang ramai yang ada di pasar raya dan pusat beli-belah kerana mereka membuat pendaftaran melalui MySejahtera dan jika berlaku jangkitan, kita boleh kesan mereka, namun jika di tempat awam ini, sukar untuk berbuat demikian.

"Jadi, kita harap orang ramai tidak pandang remeh isu ini, kita bukan sengaja mahu mengeluarkan kompaun namun tindakan perlu diambil untuk mengelak penularan COVID-19," katanya.

Berita Harian X