X
Ahad, 9 Mei 2021 | 11:21am

Pencarian kanak-kanak dikhuatiri lemas hingga ke Sungai Linggi

SEREMBAN: Pencarian kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas akibat tergelincir ke dalam longkang di Flat Cempaka, Garden Avenue, Seremban 2, dekat sini, semalam diperluas hingga ke Sungai Linggi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd Asree Abd Hamid, berkata pencarian Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, yang ditangguh pada jam 3.30 pagi disambung semula sekitar 7.40 pagi tadi ditumpukan di permukaan serta dasar di sungai dan Kolam Tadahan Air Taman Arowana.

"Kita pecahkan kepada dua pasukan iaitu pasukan pertama buat pencarian dari lokasi awal mangsa terjatuh sehingga ke kolam takungan.

"Pasukan kedua pula dari kolam takungan hingga ke Sungai Linggi yang membabitkan pencarian sehingga sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa terjatuh," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Pasukan penyelamat pelbagai agensi melakukan pencarian mangsa. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Pasukan penyelamat pelbagai agensi melakukan pencarian mangsa. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Beliau berkata kekuatan anggota mencari dan menyelamat pada hari ini membabitkan 30 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba seramai 14 orang.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa bersama abangnya berusia sembilan tahun dan rakan berusia 12 tahun dikatakan sedang bermain sebelum tergelincir ke dalam longkang di flat berkenaan dan dihanyutkan air deras yang ketika itu hujan lebat. – BERNAMA

Pasukan bomba dan polis melakukan pencarian mangsa lemas, Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, yang dikatakan tergelincir ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras di Flat Cempaka di Seremban 2. - Foto Bomba

Berita Harian X