Sabtu, 8 Mei 2021 | 12:05pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Badan Pengurusan Bersama dikompaun RM10,000

KUALA LUMPUR: Kegagalan Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebuah premis di ibu negara memastikan penghuni dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengundang padah apabila dikompaun RM10,000, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata kompaun dikeluarkan selepas pihak JMB didapati gagal memastikan penghuni dan pengunjung membuat imbasan MySejahtera atau mendaftar dalam buku daftar yang disyaratkan dalam SOP PKP yang sedang berkuatkuasa.

"Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan (No 4) (Pindaan) (No 16) 2021," katanya.

"Justeru, semua pemilik premis di daerah ini dinasihatkan supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memberi kerjasama untuk memerangi COVID-19," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, pemilik premis adalah pihak yang bertanggung jawab memastikan semua penghuni dan pengunjung mematuhi SOP ketika berada di dalam premis mereka.

Katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana JMB sekiranya SOP yang ditetapkan itu gagal dipatuhi termasuk memastikan penghuni dan pengunjung memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Berita Harian X