Isnin, 19 April 2021 | 9:47pm
Seorang anggota polis trafik maut dalam nahas di lorong motosikal susur masuk Jambatan Pulau Pinang bersebelahan plaza tol, petang tadi. - NSTP/Ihsan Pembaca
Seorang anggota polis trafik maut dalam nahas di lorong motosikal susur masuk Jambatan Pulau Pinang bersebelahan plaza tol, petang tadi. - NSTP/Ihsan Pembaca

Anggota polis maut nahas pulang dari kerja

BUTTERWORTH: Seorang anggota polis trafik maut selepas dalam nahas di lorong motosikal di susur masuk Jambatan Pulau Pinang bersebelahan Plaza Tol A di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.05 petang itu, Muhamad Haikal Shaffik Abdul Rahim, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Terdahulu, mangsa yang menetap di Sungai Batu, Teluk Kumbar dekat Bayan Lepas, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sebaik selesai bertugas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang di kiri laluan motosikal.

"Mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Muda, Kedah menunggang dari arah Perai ke bahagian pulau.

"Mangsa dipercayai jatuh selepas melanggar tiang dan mengalami cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X