Jumaat, 16 April 2021 | 3:26pm
Jururawat menyuntik vaksin ke atas anggota polis Ibu Pejabat Daerah Kajang ketika Program Vaksinasi COVID-19 di Dewan Orang Ramai Bukit Mewah, Kajang. - Foto hiasan NSTP/AZHAR RAMLI
Jururawat menyuntik vaksin ke atas anggota polis Ibu Pejabat Daerah Kajang ketika Program Vaksinasi COVID-19 di Dewan Orang Ramai Bukit Mewah, Kajang. - Foto hiasan NSTP/AZHAR RAMLI

Jangan sebar maklumat tidak pasti - Polis

KUALA LUMPUR: Kematian anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, awal pagi tadi, bukan berpunca daripada komplikasi akibat suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata dakwaan yang tersebar di Facebook dan aplikasi WhatsApp mengatakan anggota polis itu meninggal dunia selepas mengambil suntikan dos kedua vaksin, tidak benar.

"Maklumat itu tidak betul. Sebaliknya, pihak kami masih lagi menunggu siasatan dan hasil keputusan bedah siasat daripada Jabatan Forensik Hospital Kajang.

"Kita sedang menyiasat berita palsu yang tersebar itu dan menyarankan kepada semua pihak di luar sana supaya tidak membuat spekulasi yang tidak benar mengenai perkara itu sehingga boleh meresahkan orang ramai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, viral di media sosial berita kematian seorang anggota polis wanita berusia 42 tahun yang didakwa meninggal dunia selepas menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19.

Menerusi maklumat yang tersebar itu, mangsa dikenali sebagai Koperal Rozaimazura Che Yaacob, berasal dari Bachok, Kelantan dikatakan mengambil suntikan dos kedua vaksin berkenaan, pada Rabu lalu.

Rozaimazura dikatakan mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke Hospital Kajang, sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.40 pagi tadi.

Berita Harian X