Isnin, 15 March 2021 | 6:00pm
Gambar fail Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) menunjukkan selaras senapang angin yang dirampas daripada suspek yang membunuh isterinya ketika sedang tidur dan memasukkan ke dalam tong air bersama kain cadar dan menanamnya di sebuah ladang di Bandar Penawar Kota Tinggi pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Polis Johor. - Foto fail NSTP

Suspek tembak, bunuh isteri didakwa esok

JOHOR BAHRU: Suspek yang membunuh dan menembak isterinya menggunakan senapang angin dalam kejadian tragis di Taman Saujana Kota Tinggi, 1 Mac lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, pagi esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi sebentar tadi.

"Ya, pendakwaan kes berkenaan akan dilakukan di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, pagi esok," katanya.

Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, dilaporkan berkata, perintah reman ke atas suspek yang berakhir hari berkenaan disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan polis.

Terdahulu, jenazah mangsa yang juga ibu kepada dua anak dan berusia 38 tahun itu sudah dituntut keluarganya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Terengganu itu kira-kira 4.15 pagi Khamis lalu.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Telaga, Terengganu kira-kira jam 5.30 pagi berkenaan.

Pada 5 Mac lalu, media melaporkan misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui secara tragis dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Kota Tinggi, pagi Khamis lalu.

Lebih memilukan, suaminya yang berusia 43 tahun, dilaporkan menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya yang sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi.

Ayob berkata, kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Berita Harian X