Rabu, 10 March 2021 | 2:52pm

Reman suspek tembak isteri disambung 6 hari

JOHOR BAHRU: Reman ke atas suspek yang menembak isterinya menggunakan senapang angin dalam kejadian menyayat hati di Taman Saujana Kota Tinggi, 1 Mac lalu, disambung enam hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata perintah sambung reman itu dipohon pihaknya bagi membantu siasatan polis.

"Reman ke atas suspek disambung enam hari bermula hari ini.

"Kertas siasatan sudah dirujuk ke pejabat Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut (pertuduhan) ke atas suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jenazah mangsa berusia 38 tahun dan ibu kepada dua anak itu dituntut keluarganya dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, malam tadi dan dilaporkan tiba di kampung halamannya di Terengganu jam 4.15 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Telaga, Terengganu kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

Misteri kehilangan seorang wanita didakwa suaminya melarikan diri dari rumah terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah tong air yang ditanam di sebuah ladang serai di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Khamis lalu.

Suspek utama yang juga suaminya berusia 43 tahun, dipercayai menembak mangsa ketika wanita berkenaan tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata, kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain dan turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman pasangan berkenaan.

Berita Harian X