Selasa, 9 March 2021 | 9:16pm
Tong air yang digunakan suspek untuk menyembunyi mayat isterinya, selepas ditembak. - Foto NSTP/ZAIN AHMED
Tong air yang digunakan suspek untuk menyembunyi mayat isterinya, selepas ditembak. - Foto NSTP/ZAIN AHMED

Ujian DNA sahkan identiti isteri ditembak suami

JOHOR BAHRU: Keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan identiti jenazah isteri yang ditembak suami menggunakan senapang angin, dalam kejadian tragis, awal pagi Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Yusof Ahmad, berkata keputusan DNA itu baharu diperoleh malam ini, sekali gus mengesahkan identiti jenazah Allahyarhamah.

"Keputusan DNA sudah dikeluarkan dengan sampel mangsa yang diuji sepadan dengan sampel keluarga terdekatnya.

"Keluarga mangsa dijangka akan menuntut jenazah malam ini.

"Jenazah Allahyarhamah dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Terengganu," katanya ketika dihubungi.

Semalam, media melaporkan jenazah Allayarhamah masih belum dituntut keluarga terdekatnya.

Md Yusof, berkata keluarga mahu pengesahan identiti dibuat dahulu, sebelum mereka menuntut jenazah berkenaan.

Jumaat lalu pula, media melaporkan, misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah, akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui secara tragis dalam tong air yang tertanam di ladang serai, di Bandar Penawar.

Suaminya yang berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya yang berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu kerana polis menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Berita Harian X