Sabtu, 6 March 2021 | 4:38pm
Anggota polis mengawasi luar rumah mangsa kes bunuh seorang wanita yang dipercayai ditembak oleh suaminya ketika tidur di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi. -Foto NSTP/Zain Ahmed
Anggota polis mengawasi luar rumah mangsa kes bunuh seorang wanita yang dipercayai ditembak oleh suaminya ketika tidur di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi. -Foto NSTP/Zain Ahmed

Jiran terkejut tragedi suami tembak mati isteri

KOTA TINGGI: Suspek yang menembak isteri menggunakan senapang angin, disifatkan jirannya sebagai suami penyayang dan terlalu menyayangi keluarganya.

Seorang jiran keluarga berkenaan yang mahu dikenali sebagai Ery, berkata penduduk yang berjiran dengan keluarga berkenaan bukan sahaja terkejut, malah seolah tidak percaya tragedi menyayat hati itu menimpa mereka.

Katanya, suspek berusia 43 tahun, dikenali penduduk sebagai suami dan ayah kepada dua anak lelaki berusia lima dan setahun, adalah lelaki baik, tidak sombong dan sering menghulurkan bantuan jika diminta.

"Kami tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di dalam rumah mereka, namun jarang terdengar keluarga mereka bertengkar apatah lagi tragedi sebegini berlaku.

"Sebagai jiran rumah yang hampir, memang kami selalu bertegur sapa dan berborak di hadapan rumah masing-masing bersama penduduk berhampiran lain jika ada kelapangan.

"Dia memang dikenali jiran kerana ringan mulut menyapa jiran tetangga selain gemar membantu mereka yang dalam kesusahan.

"Dia juga diketahui penduduk di sini sangat sayangkan isteri dan kedua-dua anaknya, sehingga menghadiahkan sebuah kereta Perodua Aruz yang dibeli atas nama isterinya. Malah, rumah diduduki mereka di sini, juga dibeli suspek dan diletakkan atas nama isterinya," katanya ketika ditemui di Taman Sri Saujana, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui secara tragis dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, pagi kelmarin.

Lebih memilukan, suaminya yang berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya yang berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Sri Saujana, di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Ery berkata, dia mengenali jirannya itu sejak tinggal di situ lima tahun lalu dan sedih apabila lelaki itu dikecam hebat masyarakat dan netizen di media sosial susulan insiden itu.

"Rasa sedih juga kerana ia menimpa dia apatah lagi ayah dan ibunya yang menetap Segamat sudah uzur serta dihormati masyarakat di sana," katanya.

Ery berkata, pada hari kejadian iaitu Isnin lalu, suspek berkelakuan sedikit pelik apabila menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh yang terletak berhampiran kira-kira jam 5.30 pagi, berbanding kebiasaan dia menghantar anaknya pada jam 8 pagi setiap hari.

"Saya dan jiran lain juga tidak dengar apa-apa yang pelik ketika hari kejadian sama ada pertengkaran, apa lagi kekecohan.

"Namun, selepas berita penahanannya tersebar petang semalam, kami jiran dan penduduk di sini, amat terkejut kerana tragedi pilu itu menimpa keluarga yang kami kenal," katanya.

Berita Harian X