X
Jumaat, 5 Februari 2021 | 9:57am
Sepasukan pegawai dan anggota D7 Bukit Aman menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat dipercayai dijadikan pusat panggilan setempat dan perkhidmatan pelanggan bagi aktiviti perjudian dalam talian (JOL-Topup). - Foto PDRM
Sepasukan pegawai dan anggota D7 Bukit Aman menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat dipercayai dijadikan pusat panggilan setempat dan perkhidmatan pelanggan bagi aktiviti perjudian dalam talian (JOL-Topup). - Foto PDRM

Pusat judi dalam talian diserbu

KUALA LANGAT: Kegiatan seorang lelaki tempatan menjadikan rumah miliknya sebagai pusat judi dalam talian sejak 2019 terbongkar apabila diserbu polis dalam Op Dadi (Calling Centre - Jol) di Jenjarom di sini, petang semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, operasi bermula jam 4 petang semalam itu membabitkan 15 pegawai dan anggota susulan risikan selama dua minggu.

"Sepasukan pegawai dan anggota D7 Bukit Aman menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat dijadikan pusat panggilan setempat dan perkhidmatan pelanggan bagi aktiviti perjudian dalam talian (JOL-Topup) yang mensasarkan pelanggan di Malaysia.

"Kita turut menahan tiga suspek iaitu seorang lelaki tempatan yang juga pemilik rumah, isterinya dan seorang pekerja wanita berumur lingkungan 20 hingga 31 tahun serta merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit modem, satu unit router, 11 simcard baru ONEXOX, dua komputer riba, jadual waktu bekerja, kereta Mercedez Benz, wang tunai berjumlah RM 453,450 dan dua keping cek Public Bank bernilai RM 200,000," katanya dalam satu kenyataan.

Azmi berkata, siasatan mendapati, sindiket itu akan mengiklankan promosi judi dalam talian kepada pelanggan tempatan (dalam negara) untuk bermain perjudian dalam talian, di mana pelanggan perlu mendepositkan bayaran bagi mendapatkan ID/Pasword untuk memulakan permainan.

"Sindiket menggunakan aplikasi laman sesawang utama 'http://ongmari77.com' bagi menawarkan perjudian dalam talian kepada pelanggan menerusi cara promosi, menguruskan dan pembayaran kepada pelanggan yang menang.

"Mereka turut menawarkan pelanggan memuatnaik aplikasi permainan berunsur perjudian (atas talian) dan aktiviti tambah nilai (top up) bagi tujuan judi online bagi laman perjudian 918Kiss, XE88, Mega888, Joker & Lucky Palace dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai dan dikesan mula beroperasi pada pertengahan 2019 di kawasan Jenjarom.

"Kutipan harian hasil keuntungan kegiatan haram di premis ini dianggarkan boleh mencecah antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan dan semua aktiviti adalah dijalankan melalui transaksi dalam talian.

"Sindiket turut menggajikan pekerja warga tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa dengan gaji sekitar RM2,700 hingga RM3,000 sebulan," katanya.

Katanya, disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(a), (c) & (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Berita Harian X