Sabtu, 30 Januari 2021 | 12:10pm

Dipercayai dera anak sampai mati, suami isteri direman tujuh hari

AYER KEROH: Sepasang suami isteri yang disyaki mendera dan membunuh kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, semalam direman tujuh hari sehingga 5 Februari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi.

Ia bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek berusia 38 tahun dan 32 tahun yang juga bapa tiri dan ibu kandung kanak-kanak itu, dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini pada jam 9.20 pagi selepas ditahan di rumahnya, di Taman Krubong Jaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, Bilik Gerakan Melaka Tengah menerima maklumat daripada seorang lelaki berusia 38 tahun mendakwa anak tirinya lemas dalam tong air di rumahnya.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan bunuh.

Kisah kanak-kanak malang itu sebelum ini pernah tular Oktober tahun lalu apabila ibu angkat yang menjaganya sejak bayi terpaksa memulangkan semula kepada ibu kandungnya.

Kisah itu dikongsikan menerusi satu klip video di Facebook yang menunjukkan ibu angkat dan keluarganya menangis teresak-esak ketika mendakap kanak-kanak terbabit sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya.

Berita Harian X