Khamis, 21 Januari 2021 | 4:53pm

Bukan saman sebab tak pakai sarung tangan

PUTRAJAYA: Polis nafi menyaman seorang pekerja wanita di sebuah pasar raya di Presint 8 di sini kerana tidak memakai sarung tangan ketika bertugas seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata individu itu sebenarnya disaman kerana tidak mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Fadzil berkata, beliau hanya menasihatkan pekerja yang bertugas di kaunter itu agar menggunakan sarung tangan kerana beliau berurusan dengan ramai pelanggan bagi mengelak penularan COVID-19.

"Individu terbabit dikenakan saman atas kesalahan tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera serta memeriksa suhu badan ketika bertugas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial klip video kononnya seorang pekerja wanita di sebuah pasar raya di Presint 8, di sini, disaman kerana tidak memakai sarung tangan ketika bertugas.

Dalam klip video berkenaan, Mohd Fadzil dilihat menasihati pekerja itu kerana tidak memakai sarung tangan, namun disalah anggap kononnya dikenakan tindakan saman kerana tidak memakai sarung tangan.

Rakaman video yang dikongsi menerusi Twitter itu turut menarik perhatian Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kemudian menjelaskan tiada SOP bagi pemakaian sarung tangan.

Ismail Sabri menerusi Twitter berkata: "Tiada SOP pakai glove (sarung tangan).

Klip video yang tular itu juga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen dan mendakwa polis tidak faham mengenai SOP yang dikuatkuasakan sepanjang PKP.

Mohd Fadhil berkata, pihaknya berasa kesal kerana video itu telah disunting dan disebarkan kepada umum seolah-olah memburukkan kredibiliti polis serta tidak menunjukkan kejadian sebenar.

Katanya, video yang tular itu tidak benar dan polis juga tidak mengeluarkan saman atas kesalahan tidak memakai sarung tangan.

"Pekerja wanita itu disaman RM1,000 pada 17 Januari lalu kerana melanggar SOP PKP," katanya.

Berita Harian X