Rabu, 13 Januari 2021 | 2:28pm
TERTUDUH, Amir Amirul Rashid Yunus,32, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Marang kerana mencuri dua utas gelang tangan emas bernilai RM40,000 dari sebuah kedai emas. NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
TERTUDUH, Amir Amirul Rashid Yunus,32, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Marang kerana mencuri dua utas gelang tangan emas bernilai RM40,000 dari sebuah kedai emas. NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Mekanik dipenjara 14 bulan curi gelang emas

MARANG: Seorang mekanik dipenjara 14 bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri dua utas gelang tangan emas bernilai RM40,000 dari sebuah kedai emas.

Tertuduh, Amir Amirul Rashid Yunus, 32, turut berdepan hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri dua utas gelang tangan emas milik sebuah kedai emas di Bandar Marang, jam 4.45 petang pada 24 Disember 2020.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan dua utas gelang tangan emas bernilai hampir RM40,000 di sebuah kedai emas di Bandar Marang.

Suspek berjaya ditahan polis di sebuah rumah di Paka, Dungun kira-kira jam 9.30 malam pada 30 Disember 2020.

Berita Harian X