Selasa, 22 Disember 2020 | 11:29pm
- Foto polis Dang Wangi
- Foto polis Dang Wangi

Polis tumpaskan sindiket Macau Scam

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket Macau Scam dan kegiatan judi dalam talian selepas menahan 11 individu termasuk empat warga China dalam tiga serbuan berasingan sekitar ibu kota, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata serbuan pertama di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, di sini, jam 3.30 petang itu membawa kepada tangkapan tiga lelaki warga China berusia antara 28 hingga 34 tahun.

Katanya, turut dirampas 40 telefon bimbit, dua komputer, wang tunai mata wang China berjumlah 1,168 yuan (RM725) dan wang tunai RM5,011 bagi membantu siasatan.

"Kita mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti penipuan pelaburan iaitu Macau Scam dan semua suspek itu direman empat hari hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

"Dua serbuan seterusnya dilakukan di sebuah residen di Jalan Conlay, di sini.

Dalam serbuan kedua pada jam 5.30 petang, kita menahan seorang lelaki warga China berusia 35 tahun yang disyaki terbabit dalam judi dalam talian dan juga ditahan reman sehingga Jumaat ini.

- Foto polis Dang Wangi
- Foto polis Dang Wangi

"Setengah jam kemudian, kita menyerbu sebuah bilik di residen sama dan menahan tujuh individu termasuk dua wanita warga Thailand dan Vietnam berusia antara 21 hingga 33 tahun.

"Hasil pemeriksaan menemui pelbagai barangan termasuk daun terup, kertas catatan aktiviti perjudian dan wang tunai RM23,200 dan semua mereka direman dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Semua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 selain Seksyen 4 (1) (g) dan 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Berita Harian X