Isnin, 30 November 2020 | 1:04pm

Sindiket dadah Ah Soon beroperasi sejak PKP tumpas

JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang membabitkan nilai keseluruhan rampasan dadah RM737,000 dalam tiga serbuan di sekitar kawasan Seri Alam di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) antara Khamis hingga Jumaat lalu.

Beliau berkata, pihaknya menumpaskan sindiket Ah Soon yang dipercayai sudah beroperasi hampir enam bulan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang dipercayai bertindak sebagai 'runner' (penghantar) ditahan, selain mempunyai semakan rekod lampau jenayah mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan.

"Bekalan dadah itu dipercayai dari utara tanah air, selain pasarannya adalah untuk kawasan sekitar bandar raya ini.

"Kemungkinan ada menggunakan khidmat penghantaran dan siasatan masih diteruskan mungkin ada lagi saki-baki masih bebas. Yang kita tangkap ini sindiket, bukan individu.

Dadah jenis Syabu, pil Ecstacy, pil Erimin5 dan Ketamin dirampas daripada sindiket Ah Soon dalam operasi di sekitar Seri Alam, Johor Bahru. - Foto NSTP/Zain Ahmed
Dadah jenis Syabu, pil Ecstacy, pil Erimin5 dan Ketamin dirampas daripada sindiket Ah Soon dalam operasi di sekitar Seri Alam, Johor Bahru. - Foto NSTP/Zain Ahmed

"Antara dirampas merangkumi 2,734 kilogram syabu; 12,000 pil ecstasy; 23,000 pil Erimin 5 dan 530 gram ketamin dengan nilai rampasan RM737,000," katanya pada sidang media di Pusat Media IPK Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Camry, sebuahdua kereta jenis Nissan Grand Livina, seutas gelang keemasan atau perak dan wang tunai berjumlah RM1,700 dengan jumlah nilai rampasan dadah dan sitaan ialah RM811,700.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula 27 November sehingga 4 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, sejak awal Januari hingga 28 November lalu, JSJN Johor berjaya menahan seramai 17,603 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan bagi tempoh sama membuat rampasan dadah sebanyak 2.66 tan.

Katanya, keseluruhan dadah dirampas bernilai RM29.59 juta dan sitaan harta bernilai RM 13.56 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Mydin Pitchay (dua kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis Syabu, pil Ecstacy, pil Erimin5 serta Ketamin yang dirampas daripada sindiket Ah Soon dalam operasi di sekitar Seri Alam Johor selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor. - Foto NSTP/Zain Ahmed

Berita Harian X