Rabu, 25 November 2020 | 11:17am
Polis menyerbu pusat perjudian dalam talian yang sasarkan warga China di sebuah resort di Banting semalam - Foto NSTP/Ihsan PDRM
Polis menyerbu pusat perjudian dalam talian yang sasarkan warga China di sebuah resort di Banting semalam - Foto NSTP/Ihsan PDRM

Polis serbu resort peranginan jadi pusat judi dalam talian

KUALA LANGAT : Polis menyerbu sebuah pusat peranginan di Banting di sini semalam dipercayai dijadikan lokasi kegiatan permainan judi dalam talian yang mensasarkan pelanggan dari China.

Malah kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar juga turut dijadikan sebagai lokasi aktiviti pertaruhan pelaburan matawang asing (forex) disyaki tanpa lesen.

Bagaimanapun kegiatan yang dipercayai beroperasi kira-kira dua bulan lalu itu dikesan polis yang menahan 88 individu dalam Op Dadu di sini, petang semalam.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam, berkata serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota D7 Bukit Aman serta dibantu D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

"Dalam operasi itu, seramai 61 lelaki warganegara China, 12 perempuan warganegara China, 12 lelaki tempatan dan tiga wanita tempatan yang berumur antara 23 hingga 46 tahun ditahan.

"Polis turut merampas 112 set Komputer, 29 unit komputer riba, 1,207 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 15 unit 'router', lima unit modem serta wang tunai berjumlah RM2,200.

"Siasatan mendapati kegiatan JOL-Calling Centre itu menjadikan beberapa blok di pusat peranginan terbabit sebagai tempat menjalankan kegiatan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Azmi berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati semua suspek disyaki mengurus pusat aktiviti pertaruhan dan pusat panggilan yang berpusat di negara ini tetapi mensasarkan pelanggan atau mangsa dari negara China.

"Suspek turut menjalankan aktiviti pertaruhan pelaburan tukaran wang asing dan kegiatan jual beli secara dalam talian disyaki 'scammer'.

"Suspek juga menggunakan laman sesawang untuk menjalankan aktiviti perjudian atas talian 'calling centre' menggunakan suatu pertaruhan yang dikenali sebagai Loteri 360.

"Sindiket ini menggunakan transaksi kewangan melalui perbankan dalam talian bank di China untuk proses menerima dan membayar hasil perjudian atas talian dengan menggunakan matawang China (ReMinBi)," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati lokasi itu mempunyai ciri- ciri keselamatan di mana terdapat pengawal keselamatan, pemantauan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk keluar, masuk, naik dan turun dari blok penginapan mereka.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (c) & (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959.

Berita Harian X