Isnin, 16 November 2020 | 9:58am

5 remaja bawah umur ditahan

ALOR SETAR: Lima remaja bawah umur ditahan dalam serbuan polis jam 12.30 tengah malam tadi di sebuah dewan persendirian, di Jalan Langgar dekat sini.

Mereka yang masing-masing berusia 13,14, 18 dan dua lagi berusia 17 tahun ditahan bersama lapan yang lain berusia antara 19 hingga 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Nor, berkata pemeriksaan mendapati tujuh daripada mereka positif dadah, manakala yang lain ditahan kerana melanggar Peraturan 22 (B) Akta 342 dan Peraturan 11 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

REMAJA berusia 13 tahun (kiri) yang ditahan kerana melanggar PKPB berkumpul bersama tujuh individu termasuk dua remaja perempuan dalam sebuah bilik yang diserbu polis. NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
REMAJA berusia 13 tahun (kiri) yang ditahan kerana melanggar PKPB berkumpul bersama tujuh individu termasuk dua remaja perempuan dalam sebuah bilik yang diserbu polis. NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

"Tujuh daripadanya positif dadah termasuk tiga remaja perempuan berusia 15, 17 dan 18 tahun.

"Mereka ditahan dalam bilik sempit dalam dewan berkenaan yang disewa pada harga RM50 satu malam.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif ketamin dan methampetamine," katanya.

Nor Azman berkata, pemeriksaan di dua lagi bilik bersebelahan mendapati terdapat dua pasangan berusia 17 hingga 19 tahun di dalamnya. Mereka turut ditahan kerana melanggar PKPB

"Mereka yang didapati positif turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Bagaimanapun dua pasangan lagi disiasat kerana melanggar PKPB dan diserahkan kepada penguat kuasa JAIK kerana disyaki berkhalwat," katanya.

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan terhadap tujuh individu termasuk remaja yang berkumpul dalam sebuah bilik dan melanggar PKPB. NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan terhadap tujuh individu termasuk remaja yang berkumpul dalam sebuah bilik dan melanggar PKPB. NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Berita Harian X