Selasa, 3 November 2020 | 12:30pm
ANTARA warga China yang terbabit dengan kegiatan judi dalam talian ditahan.
ANTARA warga China yang terbabit dengan kegiatan judi dalam talian ditahan.

Judi dalam talian, 25 ditahan termasuk 9 warga China

KUALA LUMPUR: Seramai 25 individu termasuk lapan lelaki dan seorang wanita warga China yang terbabit dengan kegiatan judi dalam talian ditahan, sekitar 1.45 petang semalam.

Mereka ditahan susulan serbuan ke atas sebuah unit kondominium di Taman Bukit Ria, Cheras, di sini, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata sindiket terbabit dipercayai beroperasi selama 12 jam sehari dan mensasarkan pemain judi di negara China.

"Berdasarkan siasatan awal, modus operandi sindiket ini adalah berhubung melalui aplikasi sosial WeChat sahaja dan beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

"Selain itu kita juga percaya aktiviti sindiket ini didalangi warga China dan mereka berhubung dengan semua pemain yang ingin membuat pertaruhan menerusi laman wnhffy.com/#," katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas 60 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 13 unit komputer riba, 14 unit pengecas komputer riba, 11 unit tetikus serta pelbagai peralatan telekomunikasi.

Berita Harian X