Khamis, 29 Oktober 2020 | 6:44pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tahan kerja jika dituduh di mahkamah

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penahanan enam anggotanya berhubung kes pemerasan terhadap orang awam dalam satu operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan pemerasan.

Katanya, pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, untuk tindakan susulan termasuk proses pertuduhan

Asisten Komisioner Razali Abu Samah
Asisten Komisioner Razali Abu Samah

Beliau berkata semua anggota terbabit kini ditempatkan bertugas di Bahagian Pentadbiran sementara siasatan lanjut ke atas mereka dilakukan.

"Pada masa ini siasatan secara terperinci sedang dijalankan dan jika mereka dituduh, tindakan tahan kerja akan diambil oleh Bahagian Integriti Pematuhan Standard (BIPS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, sehingga keputusan mahkamah dikeluarkan.

"Selain itu, kita juga sedang menunggu laporan patalogi Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung salah seorang dari enam anggota terbabit yang didapati positif dadah," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Kes dadah berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Razali Abu Samah yang baru dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Serdang, semalam, turut mengulangi tekadnya untuk melakukan 'pembersihan dalaman' membabitkan semua pegawai dan anggota IPD Serdang, yang terbabit dalam kegiatan dan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Tumpuan saya adalah membersihkan 'rumah kami' (IPD Serdang) dari memastikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat di sini kepada polis berada pada tahap terbaik," katanya.

BH Online hari ini memetik sumber Bukit Aman sebagai berkata enam anggota terbabit, ada yang berpangkat Koperal dan Lans Koperal ditahan selepas JIPS menerima aduan awam mengenai kegiatan pemerasan orang awam di sekitar kompleks beli-belah The Mines dan Balakong.

Malah, ketika ditahan, anggota terbabit didapati menjalankan penugasan di luar sektor mereka.

Berita Harian X