Sabtu, 24 Oktober 2020 | 2:41pm
Rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas pasukan IP PGA Sarawak dan Batalion 12 PGA Miri di sebuah rumah di Desa Permyjaya. - Foto Erika George
Rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas pasukan IP PGA Sarawak dan Batalion 12 PGA Miri di sebuah rumah di Desa Permyjaya. - Foto Erika George

Cubaan seludup rokok, minuman keras RM2.3 juta dipatahkan

MIRI: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok dan minuman keras seludup bernilai RM2.63 juta dalam serbuan di sebuah rumah, di Desa Permyjaya, pagi semalam.

Komander Briged PGA Sarawak, Mancha Ata, berkata hari ini, hasil maklumat serta risikan yang dijalankan oleh pasukan Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak dan Batalion 12 PGA Miri sekitar jam 10.30 pagi itu berjaya menemui barangan seludup yang disimpan dalam rumah berkenaan.

"Dalam serbuan itu, pasukan PGA turut menahan dua lelaki tempatan dalam rumah terbabit yang dipercayai penjaga dan pekerja stor stok simpanan barangan seludup yang belum lulus cukai kastam itu," katanya.

Katanya, pemeriksaan dijalankan menemui sebanyak 10,590 Karton rokok putih bernilai RM1.58 juta, 2,416 karton rokok kretek bernilai RM564,160; 1,479 kotak bir bernilai RM221,850 dan minuman keras 249 kotak minuman keras bernilai RM258,070 yang disimpan dalam rumah dan dalam bahagian muatan sebuah lori jenis Daihatsu Super Delta yang diletakkan di hadapan rumah terbabit.

Rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas pasukan IP PGA Sarawak dan Batalion 12 PGA Miri di sebuah rumah di Desa Permyjaya. - Foto Erika George
Rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas pasukan IP PGA Sarawak dan Batalion 12 PGA Miri di sebuah rumah di Desa Permyjaya. - Foto Erika George

"Lori terbabit yang dianggarkan bernilai RM70,000 turut dirampas dan disita sebagai bahan bukti kes. Kita menganggarkan kesemua nilai rampasan termasuk lori adalah dianggarkan bernilai RM2.7 juta.

Kedua-dua lelaki terbabit kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan, manakala kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bagi tindakan lanjut.

Kes ini akan disiasat di bawahSeksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, tangkapan ini menjadi satu lagi kejayaan terbesar pasukan PGA khususnya dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras di negeri ini.

Berita Harian X