Rabu, 7 Oktober 2020 | 2:04pm
Kontena mengandungi 6,469,600 batang rokok putih tidak berkastam yang diseludup untuk pasaran tempatan dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang. - Foto ihsan JKDM
Kontena mengandungi 6,469,600 batang rokok putih tidak berkastam yang diseludup untuk pasaran tempatan dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang. - Foto ihsan JKDM

Cubaan seludup lebih 6 juta rokok putih gagal

PELABUHAN KLANG: Kira-kira 6.5 juta batang rokok putih pelbagai jenama yang tidak berkastam dipercayai untuk pasaran tempatan dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Khamis lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifiah, berkata rampasan itu dilakukan menerusi operasi dijalankan Unit Siasatan Dalaman (USD) bersama Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Pulau Pinang.

"Pada 1 Oktober lalu, sekitar jam 10 pagi hingga 11.30 pagi, JKDM Pulau Pinang menahan sebuah kontena berukuran 40 kaki di Pelabuhan Utara yang mengandungi dagangan rokok putih pelbagai jenama yang tidak berkastam, disyaki untuk pasaran tempatan.

"Kontena itu dibawa ke Stor Penguatkuasaan, Kompleks Pencegahan Negeri, JKDM Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati kontena bermuatan 647 'mastercase' (6,469,600 batang rokok) dianggarkan bernilai RM517,568 dan duti/cukai terbabit dianggarkan RM4,321,692.80," katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata, siasatan awal mendapati kontena Pelabuhan Utara dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang, di sini.

"Melalui dokumen yang diperolehi, dagangan itu berasal dari sebuah negara di Asia Timur.

"Modus Operandi digunakan adalah dengan mengikrar dagangan sebagai 22 'cartons of Message Box Cabinet' dalam 'Bill of Lading', 'Arrival Notice' dan Manifes Import (K4)," katanya.

Beliau berkata, kesemua rokok putih itu dimuatkan di dalam 22 kotak kayu besar berukuran 2.30 meter panjang, 1.04 meter lebar dan 1.32 meter tinggi.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 atas cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam serta mengelakkan larangan import mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976," katanya.

Sehubungan itu, JKDM meminta orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam negeri.

Berita Harian X