Selasa, 15 September 2020 | 8:33am

Maut depan pintu

ALOR SETAR: Seorang lelaki maut dalam kebakaran rumahnya di Taman Malik dipercayai terhidu asap ketika cuba memadam api.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata pihaknya menerima panggilan jam 5.32 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan bantuan dari BBP Alor Setar yang membabitkan 13 anggota dan dibantu Pasukan Bomba Sukarela di sekitar kawasan berhampiran.

"Rumah ini didiami empat sekeluarga, namun seorang daripada ditemui dalam keadaan rentung.

"Isteri mangsa yang kurang sihat berjaya diselamatkan oleh dua anak," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sayani berkata, berdasarkan keterangan dari isteri mangsa, api dipercayai berlaku di bahagian bilik anak lelaki mereka.

Beliau berkata, isteri mangsa mengejutkan dua anak mereka dan mangsa pada mulanya berjaya menyelamatkan diri, namun terperangkap di pintu hadapan rumah itu ketika cuba memadam api.

Anggota bomba memeriksa kediaman yang terbakar di Taman Malik, pagi tadi. - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Anggota bomba memeriksa kediaman yang terbakar di Taman Malik, pagi tadi. - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

"Siasatan masih dijalankan oleh pegawai dari Bahagian Forensik JBPM Kedah mengetahui punca kejadian," katanya.

Sayani berkata, turut terbakar tiga buah kenderaan di hadapan rumah berkenaan.

Beliau berkata, api berjaya dipadam sepenuhnya jam 6.30 pagi.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya jika berlaku kebakaran, selamatkan diri terlebih dahulu, sebelum memikirkan harta benda kerana ini boleh mengundang bahaya apabila terperangkap," katanya

Lelaki maut dalam kebakaran rumah di Taman Malik, Alor Setar pagi ini. - Foto Bomba
Lelaki maut dalam kebakaran rumah di Taman Malik, Alor Setar pagi ini. - Foto Bomba
Berita Harian X