Isnin, 14 September 2020 | 4:27pm
Tanaman pisang dan ubi kayu penduduk musnah dilanda banjir lumpuh yang menyebabkan Orang Asli terbabit terputus makanan. Gambar kecil Penghulu Pos Gob, Uda Alang - Foto NSTP/ Ramli Ibrahim
Tanaman pisang dan ubi kayu penduduk musnah dilanda banjir lumpuh yang menyebabkan Orang Asli terbabit terputus makanan. Gambar kecil Penghulu Pos Gob, Uda Alang - Foto NSTP/ Ramli Ibrahim

Lari naik bukit elak banjir lumpur

GUA MUSANG: Kira-kira 500 penduduk Orang Asli di Pos Gob, dekat sini, terpaksa melarikan diri ke atas bukit apabila kampung mereka dilanda banjir lumpur yang teruk pada awal pagi kelmarin.

Air keruh bercampur lumpur dari sungai berdekatan melanda kampung itu selepas hujan berterusan di kawasan itu selama enam jam.

Kejadian itu hampir memusnahkan kawasan penempatan mereka selain semua tanaman rosak dan tiga jambatan runtuh.

Bagaimanapun, Penghulu Pos Gob, Uda Alang, berkata tidak ada kemalangan jiwa dalam kejadian itu tetapi penduduk masih terkejut dengan kejadian itu.

Katanya, semua penduduk sempat menyelamatkan diri dengan mendaki bukit berhampiran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Beliau berkata sehingga hari ini penduduk belum dapat pulang ke rumah kerana keadaan dalam kampung masih dipenuhi lumpur dan terputus bekalan makanan.

"Sebelum kejadian, hujan lebat bermula jam 6 petang dan berlarutan sehingga jam 1 pagi hingga keadaan air sungai melimpahi tebing.

"Berikutan, saya mengarahkan semua penduduk keluar rumah dan menyelamatkan diri ke atas bukit berhampiran sebelum air surut semula jam 7 pagi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang penduduk Orang Asli, Semail Angah, 45, berkata, dia terkejut apabila melihat keadaan air sungai yang menaik mendadak.

Katanya, pada malam itu mereka sekeluarga tidak dapat tidur kerana bimbang kejadian buruk berikutan air sungai yang keruh bercampur lumpur semakin melimpah.

Dia berkata, masalah yang paling teruk dihadapi kemusnahan tanaman termasuk pisang dan pokok ubi kayu sebagai makanan keluarga.

"Kini kami semua terputus bekalan makanan dan tidak dapat keluar ke bandar kerana jalan rosak teruk serta tiga jambatan runtuh," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pagi semalam.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan menghulurkan bantuan makanan segera dalam masa terdekat ini.

Berita Harian X