X
Selasa, 8 September 2020 | 3:53pm

Guna MyKad palsu, ibu tunggal warga Filipina dipenjara 20 bulan

KOTA KINABALU: Seorang ibu tunggal warga Filipina dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pagi tadi selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu yang dibelinya pada harga RM5,000.

Tertuduh, Rowena Llenado, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki MyKad palsu atas nama Rowena Llenado pada 3 Julai 2020 di sebuah rumah beralamat di L2-0, Blok L, Universiti Apartment 2 (UA2), 88400 Kota Kinabalu, Sabah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut mengaku membayar RM5,000 untuk membeli kad pengenalan berkenaan daripada bapa saudara kepada bekas suaminya.

Mengikut fakta kes, semakan Jabatan Pendaftaran Negara mendapati semakan kedua-dua cap ibu jari tertuduh tiada di dalam rekod jabatan.

Semakan lanjut oleh Bahagian Kad Pengenalan JPN Negeri mendapati nombor kad pengenalan 820728-12-6006 atas nama Rowena Llenado ini belum pernah dikeluarkan kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan sijil kelahirannya adalah bukan warganegara.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Abdulah memohon hukuman berat dan maksimum diberikan terhadap tertuduh kerana menggunakan dokumen MayKad palsu.

"Penggunaan kad pengenalan palsu berstatus warganegara oleh individu bukan warganegara pastinya menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara kita.

"Mengambil iktibar dengan kes tembakan seorang pegawai bank pada 2013 oleh pengawal keselamatan yang menggunakan kad pengenalan palsu, saya mohon hukuman berat dan maksimum diberikan agar dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat," katanya.

Rowena Llenado dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi, selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu yang dibelinya pada harga RM5,000.
Rowena Llenado dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi, selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu yang dibelinya pada harga RM5,000.
Berita Harian X