Isnin, 31 Ogos 2020 | 12:49pm
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Prima Saujana berhampiran Jambatan Saujana Impian arah Semenyih, dekat Kajang, hari ini. - Foto ihsan JBPM Selangor
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Prima Saujana berhampiran Jambatan Saujana Impian arah Semenyih, dekat Kajang, hari ini. - Foto ihsan JBPM Selangor

2 maut nahas 3 kenderaan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta dengan sebuah motosikal di Jalan Prima Saujana berhampiran Jambatan Saujana Impian arah Semenyih, dekat Kajang, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.41 pagi, pemandu kereta Perodua Kancil, Yap Khiam Heung, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala penunggang motosikal, Urul Afendy Hasim, 28, disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang ketika menerima rawatan kira-kira jam 6 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata siasatan mendapati kereta Proton Persona dipandu lelaki berusia 18 tahun, dalam perjalanan dari Semenyih menghala ke ibu negara hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

"Ia mengakibatkan kereta itu merempuh sebuah kereta Perodua Kancil dipandu Khiam Heung dan sebuah motosikal Yamaha Y15 ditunggang Urul Afendy.

Kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Prima Saujana berhampiran Jambatan Saujana Impian arah Semenyih, dekat Kajang, hari ini. - Foto ihsan JBPM Selangor
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Prima Saujana berhampiran Jambatan Saujana Impian arah Semenyih, dekat Kajang, hari ini. - Foto ihsan JBPM Selangor

"Pemandu Proton Persona yang dikenali Liew Yeou Haur berusia 18 tahun, cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Kajang.

"Mayat Khiam Heung pula ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, kenderaan terbabit dalam kemalangan itu kini berada di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membolehkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) menjalankan pemeriksaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menghantar lapan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat mangsa.

Katanya, mereka menaiki dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang.

Berita Harian X