Rabu, 5 Ogos 2020 | 6:44pm
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad pada Program Taklimat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Balai Polis Malim, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Amir Mamat
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad pada Program Taklimat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Balai Polis Malim, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Amir Mamat

Ahli Geng Adi TM ditahan, kes khianat selesai

MELAKA: Masalah gangguan telekomunikasi yang sering berlaku di beberapa kawasan sekitar daerah Melaka Tengah, terbongkar dengan penahanan lapan ahli kumpulan 'Geng Adi Telekom Malaysia (TM)', sejak beberapa minggu lalu.

Ahli kumpulan yang aktif melakukan perbuatan khianat dengan memotong kabel gentian optik (FOC) milik TM di negeri ini sejak sebulan lalu itu, ditahan dalam tujuh siri tangkapan berasingan di sekitar Melaka dan Johor oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata semua lelaki yang ditahan berusia antara 24 hingga 42 tahun itu bekerja sebagai penarik dan penyambung kabel, termasuk seorang kontraktor yang tinggal di Taman Tasik Utama Ayer Keroh, di sini dan disyaki perancang utama kepada perbuatan jenayah terbabit.

Katanya, kegiatan ahli kumpulan berkenaan dipercayai dilakukan sejak bulan lalu itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, tetapi juga di pinggir dan luar bandar termasuk di Merlimau.

"Hasil beberapa siasatan dan intipan, pihak polis memulakan tangkapan sejak Sabtu hingga semalam, selain merampas tiga kenderaan iaitu PROTON Saga FLX, PERODUA Alza serta kereta Mercedes.

"Pihak polis turut merampas beberapa peralatan yang disyaki digunakan dalam melakukan perbuatan memotong kabel," katanya selepas Program Taklimat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Balai Polis Malim, di sini, hari ini.

Afzanizar berkata, hasil soal siasat, mendapati kegiatan jenayah itu dirancang oleh seorang kontraktor berusia 42 tahun, manakala suspek lain adalah pekerjanya.

Katanya, seorang daripada mereka juga dipercayai berperanan sebagai membuka peti 'manhole' dan memotong kabel FOC terbabit.

"Kabel itu tidak dicuri, sebaliknya punca utama perbuatan khianat ini kerana mereka tidak berpuas hati terhadap seorang penyelenggara TM yang memeriksa hasil kerja dilakukan oleh kontraktor untuk menyiapkan projek baik pulih serta berkaitan Manhole," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata semakan lampau mendapati tiga daripada lapan suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, kecurian dan perjudian.

"Dengan tertangkapnya ahli kumpulan terbabit, kita berjaya menyelesaikan beberapa kes potong kabel di daerah ini dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM500,000 membabitkan empat kes di Melaka termasuk kos baik pulih.

"Semua mereka direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X