Selasa, 31 March 2020 | 7:49pm
JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sebuah kontena mengandungi rokok putih di Pelabuhan Klang. - Foto ihsan JKDM
JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sebuah kontena mengandungi rokok putih di Pelabuhan Klang. - Foto ihsan JKDM

Rampas 4.6 juta batang rokok putih

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih bernilai RM370,000, di Pelabuhan Utara di sini, semalam.

JKDM dalam satu kenyataan, berkata cubaan seludup itu dikesan sepasukan anggota JKDM Zon Tengah Unit II selepas pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah kontena 40 kaki.

“Kita merampas sebanyak 4.6 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai sebanyak RM370,000 dengan jumlah duti serta cukai sebanyak RM3 juta.

“Semakan turut mendapati kontena berkenaan diikrar sebagai barangan lain iaitu ‘floor mat’ dan tuala bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak JKDM,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, JKDM kini sedang menyiasat pengimport dan ejen kastam yang terbabit dalam cubaan seludup keluar barangan ini dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Katanya, rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“JKDM juga menggesa orang ramai membantu kami memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Berita Harian X