Jumaat, 27 March 2020 | 9:22pm

COVID-19: Warga asing degil, ditahan kerana berjoging di perumahan elit

KUALA LUMPUR: Sembilan warga asing yang sedang melakukan aktiviti riadah berjoging, ditahan polis kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Mont Kiara serta Jalan Desa Kiara di sini hari ini.

Dalam operasi bermula jam 7.30 hingga 9.30 pagi itu, empat lelaki warga Jepun, dua lelaki Korea dan masing-masing-masing seorang lelaki United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan India, ditahan bersama dua warga Malaysia.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata mereka yang ditahan sedang berjoging dengan tidak mengendahkan amaran serta nasihat yang diberikan polis.

Beliau berkata, kesemuanya juga memberikan alasan yang tidak munasabah.

“Susulan itu, 11 individu yang ditahan dan dirakamkan percakapan masing-masing mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan dibebaskan dengan jaminan selepas selesai proses siasatan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kes ini juga disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa denda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau keduanya-duanya sekali.

“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mazlan turut mengingatkan orang ramai supaya bekerjasama dengan semua pihak agar mematuhi PKP demi memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

Beliau juga meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai berhampiran.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X