Isnin, 13 Januari 2020 | 10:06am
DATUK Abdul Rahman Mohamed Shariff ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
DATUK Abdul Rahman Mohamed Shariff ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pegawai kanan Kementerian Pendidikan mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pengurusan Ilmu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan dana yayasan itu berjumlah lebih RM170,000, termasuk untuk membeli cerut.

Tertuduh, Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik saja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Rahman sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pengurusan Ilmu yang diamanahkan kuasa ke atas dana yayasan itu, didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM150,000 dengan membayar ke dalam akaun Syarikat Mudra Resources Sdn Bhd miliknya menggunakan cek Maybank Islamic Berhad bertarikh 22 November 2018.

Tertuduh juga didakwa melakukan pecah amanah terhadap dana yayasan itu berjumlah RM3,049 bagi tujuan pembelian satu kotak cerut Montecristo Edmundo dan satu kotak Romeo y Julieta Wide Churchill menggunakan cek bertarikh 13 Disember 2018.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap dana yayasan itu berjumlah RM25,000 bagi tujuan pembelian Rational Combi Oven dan Ultravent plus Exhaust Hood bagi syarikat Coffee Sandwich Revival Sdn Bhd milik isterinya menggunakan lima keping cek bertarikh 13 Disember 2018.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Maybank Islamic Berhad cawangan Taman Melawati, antara 23 November 2018 dan 7 Januari 2019, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, menawarkan jaminan RM120,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.

Bagaimanapun, Abdul Rahman dalam rayuannya melalui peguam, Datuk Salehuddin Saidin, memohon jaminan yang munasabah dan pasport anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah dengan alasan tertuduh ada perniagaan di United Kingdom (UK) serta perlu berulang-alik ke sana.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan pada setiap bulan mulai Februari ini hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 13 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X