Isnin, 6 Januari 2020 | 1:03pm

Macau Scam: Polis serbu banglo mewah, tahan 7 lelaki China

ISKANDAR PUTERI: Tujuh warga China yang dipercayai memasuki negara ini secara haram dan terbabit dalam sindiket penipuan Macau Scam ditahan polis dalam serbuan di sebuah banglo mewah di Horizon Hills, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata tujuh lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan hasil risikan dua minggu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor.

Katanya, mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, ditahan reman sejak Sabtu lalu sehingga 17 Januari ini bagi siasatan lanjut.

“Hasil risikan dan siasatan mendapati tujuh lelaki berkenaan aktif menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam dari banglo mewah tiga tingkat di Horizon Hills, sejak sebulan lalu.

“Pada serbuan kira-kira jam 3.30 petang Jumaat lalu, polis turut merampas lapan komputer riba pelbagai jenama, lapan unit telefon bimbit selain empat unit penghala (router) yang digunakan dalam aktiviti penipuan Macau Scam.

“Modus operandi mereka sama seperti banyak kes yang didedahkan iaitu menyamar pegawai agensi kerajaan termasuk polis, mahkamah serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuhan Malaysia (SPRM) dengan menggunakan alasan mangsa disenaraihitam untuk tindakan mahkamah atau undang-undang.

“Mangsa yang panik terpedaya dengan taktik penipuan berkenaan sebelum memberi maklumat peribadi termasuk nombor akaun bank dan memasukkan wang tunai ke akaun suspek sebelum menyedari tertipu dan kerugian besar,” katanya

Bercakap pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini, Dzulkhairi berkata, siasatan mendapati suspek menggunakan bahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris bagi memperdaya mangsa mereka.

“Polis sedang menyiasat sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan kes tangkapan besar-besaran warga China di Cyberjaya, baru-baru ini,” katanya sambil menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C)Akta Imigresen 1959/63.

Beliau menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan dari agensi kerajaan termasuk diarah membuat pembayaran agar segera menamatkan panggilan dan merujuk ke balai polis berhampiran dengan segera.

“Orang ramai juga boleh melaporkan kepada polis jika melihat kehadiran warga China dalam jumlah yang ramai serta meragukan di penempatan mereka untuk siasatan segera,” katanya.

KETUA Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar (tengah) menunjukkan barangan rampasan pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
KETUA Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar (tengah) menunjukkan barangan rampasan pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X