X
Isnin, 14 Oktober 2019 | 8:42pm
Dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Ihsan PDRM
Dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Ihsan PDRM

JIPS tahan anggota polis 'kaki lalok'

KUALA LUMPUR: Seramai 19 anggota polis ditahan, dengan lapan daripadanya didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Jalan Raja Chulan, di sini awal pagi tadi.

Manakala, 11 lagi ditahan kerana melanggar arahan Ketua Polis Negara berhubung larangan ke atas pegawai dan anggota polis mengunjungi pusat hiburan.

Turut ditahan seorang anggota tentera selepas hasil ujian air kencing didapati positif dadah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, berkata hasil pemeriksaan lanjut di premis terbabit turut membawa penemuan paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah.

“Ketua Polis Negara sebelum ini sudah mengeluarkan arahan dan larangan mengunjungi pusat hiburan kepada semua pegawai dan anggota polis.

“Bertindak atas maklumat disalurkan mengenai kehadiran anggota polis berhibur, JIPS Bukit Aman melakukan serbuan di premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Zamri berkata, selain tindakan undang-undang sedia ada kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah, semua anggota terbabit bakal dikenakan tindakan tatatertib.

Selain 20 anggota pasukan keselamatan itu, turut ditahan dalam serbuan berkenaan ialah 26 lagi pengunjung pusat hiburan berkenaan selepas didapati positif dadah.

Kesemua mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) akta sama.

Berita Harian X