Isnin, 2 September 2019 | 1:27pm

Tarikan GRO dengan kalungan bunga 'berbayar'

SERDANG: Sebuah pusat hiburan di Jalan Persiaran Puteri 1, Puchong, dekat sini, menyajikan pakej hiburan tambahan melalui tarian oleh pelayan pelanggan (GRO) yang memakai kalungan bunga ‘berbayar’ sebagai tarikan.

Tindakan pusat hiburan itu dikesan dalam serbuan Op Noda dijalankan sepasukan anggota Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malam tadi.

Ketika serbuan kira-kira jam 11 malam, lebih 50 pelanggan sedang asyik berhibur sambil dilayan GRO warga asing yang digaji premis hiburan terbabit.

Operasi diketuai Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor, dengan lima pegawai dan 20 anggota itu adalah kali keempat ke atas premis berkenaan, tahun ini.

Azmi berkata, pelanggan didapati perlu membayar kalungan berharga antara RM30 hingga RM50 sekiranya menginginkan ‘hiburan tambahan’ daripada GRO yang dipilih untuk tempoh 15 hingga 30 minit.

“Ia dikalungkan pada GRO dan wanita dipilih berkenaan akan melayan serta menari untuk pelanggan yang membayar itu.

“Kita tidak menolak kemungkinan GRO terbabit juga menawarkan khidmat seks kepada pelanggan, namun perkara itu masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Hasil serbuan, beliau berkata, seramai 18 GRO membabitkan 13 wanita warga Vietnam dan lima lagi warga Thailand ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan dengan bekerja secara haram di negara ini.

“Selain itu, kita turut menahan empat lelaki terdiri daripada tiga warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pelayan.

“Seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai pengurus premis juga ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Azmi berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis itu yang baru beroperasi awal tahun ini, memiliki lesen sah tetapi pernah tiga kali diserbu atas kesalahan sama.

“Melalui serbuan ini, kita turut merampas wang tunai hasil perniagaan berjumlah RM2,036 dan sejumlah kalungan bunga.

“Seramai 23 orang berusia 20-an hingga 40-an yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan sosial.

ANGGOTA polis menunjukkan kalungan bunga yang dirampas dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Puchong. - Foto Hafiz Sohaimi
ANGGOTA polis menunjukkan kalungan bunga yang dirampas dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Puchong. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X