Rabu, 7 Ogos 2019 | 6:05pm
PENGUATKUASA Jabatan Imigresen Negeri Selangor di Serdang Perdana menyerbu sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
PENGUATKUASA Jabatan Imigresen Negeri Selangor di Serdang Perdana menyerbu sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Pecah pintu magnet tahan warga asing

SHAH ALAM: Anggota Jabatan Imigresen terpaksa memecahkan pintu besi magnet sebuah pusat urut di Subang Jaya malam semalam sebelum menahan warga asing yang bekerja di premis berkenaan.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi, berkata dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu, pihaknya menahan 20 wanita warga asing bersama dua lelaki tempatan.

“Ketika serbuan dilakukan, penjaga premis cuba mengunci pintu besi magnet berkenaan sejurus menyedari kehadiran pegawai dan anggota imigresen.

“Bagaimanapun, perbuatan penjaga premis itu hanya sia-sia dan semua wanita warga asing bersama pelanggan mereka gagal meloloskan diri sebelum ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam operasi berasingan, Mohamad Sukri berkata, pihaknya menyerbu sebuah premis pusat urut yang terletak di tingkat bawah sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan.

Keseluruhannya, 24 warga asing yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut ditahan dalam serbuan itu.

“Tindakan pantas anggota penguatkuasa yang mengepung lebih awal premis berkenaan berjaya menghalang pekerja dan pelanggannya daripada melarikan diri.

“Dalam serbuan malam tadi, semua yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun dan mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit yang sah dan Peraturan 39(b) di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dikeluarkan.

Berita Harian X