Ahad, 23 Jun 2019 | 1:39pm
PEGAWAI Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor memeriksa dokumen GRO yang ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah premis hiburan di Bandar Puchong Jaya, Serdang, malam tadi.
PEGAWAI Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor memeriksa dokumen GRO yang ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah premis hiburan di Bandar Puchong Jaya, Serdang, malam tadi.

Tawar GRO muda, harga istimewa pikat lelaki `hidung belang'

SERDANG: RM150 untuk tiga jam! Itu pakej harga istimewa bagi khidmat gadis muda pelayan pelanggan (GRO) ditawarkan sindiket semata-mata mahu menarik perhatian pelanggan `hidung belang’, seterusnya membolehkan mereka memperoleh keuntungan berganda.

Modus operandi itu terbongkar dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melalui Op Noda di sebuah premis hiburan di Bandar Puchong Jaya, di sini malam tadi.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor, berkata dalam serbuan itu, 20 gadis warga asing dari Vietnam, Thailand, Indonesia dan China, yang kebanyakannya berusia lingkungan 20-an turut ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral.

Katanya, turut ditahan empat lelaki, dengan dua daripadanya penjaga premis warga tempatan dan dua lagi pekerja warga asing.

“Serbuan susulan maklumat risikan mengenai aktiviti mencurigakan di premis hiburan berkenaan, termasuk beroperasi tanpa lesen sah sejak empat bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati premis terbabit menawarkan khidmat GRO kepada pelanggan dengan harga RM150 (untuk seorang GRO) yang dipilih pelanggan untuk menemani mereka bagi tempoh tiga jam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk mikrofon, alat pembesar suara dan wang tunai RM318 untuk siasatan lanjut.

"Premis terbabit juga didapati beroperasi dalam tempoh yang panjang iaitu bermula jam 5 petang hingga 4 pagi setiap hari," katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) akta yang sama serta Seksyen 6(1) Enekman Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995," katanya.

Berita Harian X