Rabu, 30 Januari 2019 | 2:17pm

Ditampar kerana disyaki mencuri buku mewarna

SIBU: Diikat sebelum ditampar dan dipukul! Itu 'hukuman' dikatakan diterima seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun selepas disyaki mencuri buku mewarna di sebuah pasar raya, di sini.

Akibatnya, kanak-kanak itu tidak hanya trauma, bahkan turut cedera pada muka, bahu, tangan dan patah gigi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata kejadian berlaku jam 5.30 petang, Isnin lalu, selepas kanak-kanak itu disyaki mencuri buku mewarna di premis berkenaan.

Katanya, perbuatan itu dilihat seorang pekerja wanita yang kemudian membawa kanak-kanak berkenaan bertemu seorang lelaki berusia 22 tahun, dipercayai penyelia pasar raya berkenaan, sebelum meninggalkan mereka berdua.

"Mangsa dikatakan diarahkan menyapu bilik stor dan cuba diikat agar tidak keluar dari bilik itu, selain ditampar hingga menyebabkan lebam pada muka dan patah gigi.

"Terdapat juga kecederaan pada bahu kiri kanak-kanak itu akibat dipukul menggunakan penyangkut baju besi dan sakit pada tangan kiri kerana dipulas," katanya menerusi kenyataan, di sini, semalam.

Stanley berkata, mangsa hanya dilepaskan oleh suspek kira-kira jam 7 malam dan terus pulang ke rumah dalam keadaan menangis sebelum mengadu kepada keluarganya.

Difahamkan, mangsa yang tinggal bersama neneknya masih bersekolah di sebuah sekolah swasta, di sini.

Stanley berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat keluarga mangsa kira-kira jam 10 malam sebelum menjalankan siasatan, termasuk memeriksa lokasi kejadian.

"Susulan kejadian itu, polis menahan seorang suspek lelaki di premis berkenaan kira-kira jam 2 petang tadi (semalam) untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

Berita Harian X