Ahad, 13 Januari 2019 | 6:02pm

Suspek jadikan kanak-kanak tebusan mati ditembak

KOTA KINABALU: Suspek lelaki yang menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan di rumah tingkat 4 pangsapuri di Taman Telipok Ria, Tuaran, mati ditembak jam 5.35 petang tadi.

Difahamkan, tindakan itu dilakukan selepas suspek enggan menyerahkan kanak-kanak terbabit walaupun polis sudah melakukan usaha memujuknya.

Kedengaran beberapa das tembakan menyebabkan suasana di lokasi kejadian kecoh dan tegang, sebelum suspek disahkan ditembak mati.

Sejurus selepas itu, kanak-kanak terbabit dibawa turun dan dihantar ke hospital dengan ambulans.

Keadaan kanak-kanak itu tidak dapat dipastikan setakat ini.

SEPASUKAN polis lengkap bersenjata berkawal di luar rumah suspek yang menawan seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Taman Telipok Ria, Kota Kinabalu. - NSTP/Junaidi Ladjana
SEPASUKAN polis lengkap bersenjata berkawal di luar rumah suspek yang menawan seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Taman Telipok Ria, Kota Kinabalu. - NSTP/Junaidi Ladjana

Terdahulu, kejadian bermula pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi apabila lelaki dianggarkan berusia 30-an dikatakan melarikan mangsa.

Lelaki yang tidak dikenali oleh penghuni di sini, membawa kanak-kanak terbabit ke sebuah rumah di tingkat 4, berdekatan rumah ibu bapa mangsa.

Polis kemudian mengepung rumah terbabit dan berusaha memujuk suspek supaya melepaskan kanak-kanak berkenaan.

Difahamkan, lelaki itu bersembunyi di dalam tandas di rumah berkenaan.

Sepasukan anggota polis lengkap bersenjata juga dihantar ke lokasi kejadian.

SUSPEK menawan kanak-kanak di dalam sebuah rumah dengan mengacukan sebilah pisau pada lehernya. - ihsan pembaca
SUSPEK menawan kanak-kanak di dalam sebuah rumah dengan mengacukan sebilah pisau pada lehernya. - ihsan pembaca
Berita Harian X