Selasa, 11 Disember 2018 | 7:26pm
MOHD Shukri (kiri) melihat balutan mesej antirasuah pada tren komuter pada Majlis Pelancaran Tren Balutan Bermesej. - NSTP/Ramdzan Masiam
MOHD Shukri (kiri) melihat balutan mesej antirasuah pada tren komuter pada Majlis Pelancaran Tren Balutan Bermesej. - NSTP/Ramdzan Masiam

Defisit TH: SPRM belum buka kertas siasatan

BUKIT MERTAJAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneliti maklumat berhubung isu pemberian hibah kepada pendeposit Tabung Haji (TH) sejak 2014, yang didakwa bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata pihaknya perlu meneliti maklumat terbabit, sama ada ia berasas serta tertakluk di bawah kesalahan Akta SPRM.

“Untuk laporan semalam, setakat ini kita masih meneliti maklumat untuk pastikan ada asas atau tidak, kita tidak boleh terus buka kertas siasatan.

“Kalau ada kesalahan lain, kita akan salurkan pada pihak lain. Kita hanya tumpu pada Akta SPRM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tren Balutan Bermesej di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf semalam, mengenai pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 yang dilaporkan bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Keadaan itu didakwa menyebabkan agensi berkenaan mengalami defisit RM4.1 bilion.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Lembaga TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, berkata kenyataan Dr Mujahid itu hanya dibuat berpandukan laporan kewangan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC).

Abdul Azeez berkata, kenyataan berkenaan tidak mengambil kira laporan Ernst & Young (EY) dari 2015 sehingga 2017, yang menilai pasaran semasa aset keseluruhan membabitkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usaha sama dan hartanah TH.

Berita Harian X