Isnin, 30 Julai 2018 | 11:43am
LIMA wanita warga Thailand ditahan Jabatan Imigresen Kedah selepas didapati melanggar syarat pas diberikan dengan bekerja sebagai tukang urut di pusat refleksologi ketika serbuan Ops Mega 3.0 dijalankan di Persiaran Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, semalam. - Foto ihsan JIM KEDAH
LIMA wanita warga Thailand ditahan Jabatan Imigresen Kedah selepas didapati melanggar syarat pas diberikan dengan bekerja sebagai tukang urut di pusat refleksologi ketika serbuan Ops Mega 3.0 dijalankan di Persiaran Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, semalam. - Foto ihsan JIM KEDAH

Tempah tukang urut guna WeChat

ALOR SETAR: Sebuah premis refleksologi yang disyaki menawarkan tempahan perkhidmatan seks melalui aplikasi WeChat diserbu Jabatan Imigresen Kedah dalam Op Mega 3.0 di Persiaran Sultan Abdul Hamid, di sini, semalam.

Premis yang berselindung di sebalik nama pusat refleksologi itu menggunakan modus operandi di mana pelanggan boleh menempah tukang urut dan menetapkan harga setiap perkhidmatan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Dalam serbuan jam 4.30 petang itu, lima wanita Thailand ditahan ketika masing-masing leka melayan pelanggan di premis dua tingkat berkenaan.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata tukang urut berusia antara 20 dan 38 tahun yang ditahan dikesan melakukan kesalahan Imigresen dengan melanggar syarat pas diberikan.

Katanya, premis terbabit dipercayai menawarkan perkhidmatan seks termasuk urutan 'body to body' (B2B) pada kadar harga RM148 sejam, selain khidmat urut biasa RM60 sejam dan urutan badan termasuk kemaluan sebanyak RM110 sejam.

"Pelanggan yang ingin menggunakan perkhidmatan urutan ini boleh menempah melalui aplikasi WeChat dan memilih tukang urut diinginkan seperti yang dipaparkan dalam aplikasi itu.

"Dalam serbuan ini juga, kami turut mengeluarkan saman ke atas lima lelaki tempatan berusia antara 26 dan 40 tahun yang dipercayai adalah majikan, penjaga kaunter dan tiga lagi adalah pelanggan pusat refleksologi itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zuhair berkata, premis berkenaan pernah diserbu beberapa kali tetapi gagal berikutan kawalan ketat yang mana terdapat sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan pengawasan.

Katanya, pihaknya terpaksa menyamar sebagai pelanggan dengan membuat tempahan dalam talian bagi memudahkan tangkapan dijalankan.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, tiga lelaki warga asing terdiri dua lelaki Indonesia dan seorang lelaki Myanmar masing-masing ditahan di kilang memproses kelapa di Ampang Jajar dan terminal bas Shahab Perdana selepas mereka melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.

Keseluruhan, lapan warga asing berkenaan ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Zuhair berkata, semua warga asing itu akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X